Tiga calon tanding jawatan ketua pemuda Pas

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Senator Ir Khairil Nizam Khirudin bakal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Pas yang disandangnya untuk sesi 2021 hingga 2023.

Bagaimanapun, beliau akan ditentang dua lagi lawan iaitu timbalannya yang kini merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Selain itu, jawatan Ketua Pemuda yang membabitkan tiga penjuru itu turut melibatkan seorang lagi calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya.

Bagi jawatan Timbalan Ketua pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Ahmad Fadhli yang akan mempertahankan jawatannya dan akan berdepan dengan Naib Ketua, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Kerusi tersebut juga akan menyaksikan persaingan daripada Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Farkhan Md Zain.

Sementara itu, kerusi Naib Ketua pula menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penglibatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanapi Zulkapli; Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri; Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Bagan, Zuzalee Ariffin.

Bagi Dewan Muslimat Pas pula, menyaksikan pertandingan bagi mengisi jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja yang melibatkan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan DUN, Senator Asmak Hussin; Pengerusi Lajnah Pendidikan, Dr Azimah Ibrahim dan Bendahari, Dr Che Faridah Ismail.

Kerusi Jawatankuasa Kerja itu turut menyaksikan pertembungan antara, Pengarah Muslimat legal Team (Muslet), Fairuz Idris; Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Halimah Ali; Penolong Setiausaha 2, Huda Nordin dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Husna Hashim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kerusi Jawatankuasa Kerja turut menyaksikan pencalonan baharu, pendakwah terkenal, Datuk Dr Norhafizah Musa; AJK Dewan Muslimat Tapah, Salmah Abd Latif; dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Pas dalam kenyataan memaklumkan, bagi Dewan Pemuda Pas, jumlah borang pencalonan diterima ialah 111 daripada 185 kawasan dengan satu borang pencalonan ditolak.

Bagi Dewan Muslimat Pas pula, jumlah borang pencalonan diterima ialah 150 daripada 182 kawasan dengan pencalonan ditolak ialah dua borang.