PRN Melaka: Keputusan UMNO beri kelebihan kepada PH

Hassan - Foto Bernama
Hassan - Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan memberi kelebihan Pakatan Harapan (PH) untuk menang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kesempatan itu perlu diguna sebaik mungkin untuk PH meletakkan calon berkaliber dan mempunyai integriti termasuk bukan kalangan mereka yang melompat parti.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu menegaskan, PH perlu konsisten dengan pendirian tersebut dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai PRN

"Sejujurnya saya tidak bersetuju dengan keputusan PRN Melaka ketika pandemik Covid-19 masih berlarutan ini tetapi keputusan sudah dibuat, jadi kita akan patuh dengan kepimpinan peringkat pusat dan akan bantu mereka jika diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pejabat Parlimen Pasir Gudang dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Pusat Dialisis Lion Club, Johor Jaya, di sini pada Jumaat.

Hassan diminta mengulas sama ada keputusan UMNO itu akan membuatkan undi Melayu berpecah sekali gus memberi kelebihan PH untuk menang PRN Melaka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka pada 20 November ini seperti ketetapan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkembangan tersebut akan memberi kelebihan kepada PH untuk kembali menjadi kerajaan negeri di Melaka seperti ketika mereka menerima mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Artikel Berkaitan:

Mengenai dakwaan Pas akan menjadi 'king maker' pada PRN Melaka untuk membuat pilihan sama ada bersama-sama UMNO atau Bersatu, beliau menafikan faktor tersebut.

Beliau berkata, Pas hanya akan menyokong mana-mana parti yang akan memberi kemenangan untuk membolehkan mereka kekal dalam kerajaan.

"Parti itu juga bukanlah 'king-maker' seperti yang dikatakan kerana mereka tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat khususnya di negeri pantai barat termasuk di Melaka," katanya.