Anwar miliki harta RM10.7 juta

A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah harta milik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bernilai RM10. 7 juta.

Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad berkata, Anwar telah menghantar perisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti diminta kerajaan kepada semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH.

Katanya, perisytiharan ini termasuk anggaran nilai semasa rumah milik Anwar di Bukit Segambut sebanyak RM9.5 juta yang asalnya dibeli pada harga RM4.5 juta hasil daripada jualan rumah di Bukit Damansara pada 2005.

"Turut diisytiharkan sebidang tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang yang dibeli pada 1974 dengan harga RM7,000. Nilai anggaran tanah tersebut pada ketika ini ialah RM420,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, harta selebihnya adalah dari akaun-akaun pelaburan dan wang simpanan yang berjumlah RM 828,658.83.

"Dengan ini dimuktamadkan bahawa jumlah harta milik Anwar bernilai RM10,748,658.83," katanya.

Setakat ini, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr R Santhara Kumar memiliki jumlah aset paling banyak iaitu RM132 juta. Ia diikuti oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham memiliki aset bernilai RM77 juta.

Seterusnya ialah Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai aset bernilai RM32 juta.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia