Banjir kilat: Tiga PPS dibuka di Kuala Muda

Penduduk terjejas dipindahkan ke PPS di daerah Kuala Muda pada pagi Khamis berikutan banjir kilat setelah hujan lebat lebih tiga jam di daerah berkenaan.
Penduduk terjejas dipindahkan ke PPS di daerah Kuala Muda pada pagi Khamis berikutan banjir kilat setelah hujan lebat lebih tiga jam di daerah berkenaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Muda bagi menempatkan 162 mangsa banjir dari 39 buah keluarga setakat jam 2 pagi Khamis berikutan banjir kilat setelah hujan lebat lebih tiga jam di daerah berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, tiga PPS membabitkan Surau Taman Kenari (13 mangsa), Dewan Kampung Bukit Belah Batu 2 (18 mangsa) dan Masjid Al-Huda Kampung Jerung (131 mangsa).

Menurutnya, setakat jam 3 pagi, hujan masih turun dan jangkaan air pasang berlaku namun keadaan masih terkawal dan berjaga-jaga.

"Paras air meningkat antara 0.3 hingga 1 meter di mana dikatakan berpunca setelah hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda mengakibatkan beberapa buah kampung dan taman perumahan berlaku banjir kilat," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 291 buah keluarga dari 15 buah kampung serta dua buah taman perumahan terjejas.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 236 buah keluarga di Mukim Sungai Petani membabitkan 11 kampung dan dua taman perumahan, 40 buah keluarga di Kampung Jerung Mukim Sidam Kiri, tujuh keluarga di Kampung Kilang Makau Mukim Pinang Tunggal dan lapan keluarga dari dua buah kampung di Mukim Pekula," katanya.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan mangsa tidak berpindah dan hanya di kawasan terjejas teruk PPS dibuka bagi menempatkan mangsa.

Artikel Berkaitan: