ZPP tetapkan kadar baharu uruf pemakaian emas perhiasan

Hanya berat emas dikira untuk pengiraan zakat tanpa mengambil kira batu-batu permata, berlian, delima, zamrud dan lain-lain. (Gambar kecil: Azhari)
Hanya berat emas dikira untuk pengiraan zakat tanpa mengambil kira batu-batu permata, berlian, delima, zamrud dan lain-lain. (Gambar kecil: Azhari)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menetapkan uruf atau kadar semasa pemakaian emas perhiasan di kalangan wanita Islam di negeri ini ialah seberat 250 gram ke atas.

Pengurus Bahagian Dakwah Am, Jabatan Operasi dan Kutipan ZPP, Azhari Ahmad berkata, ketetapan itu telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang membincangkan berkaitan zakat emas baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum ini uruf pemakaian barang perhiasan emas yang dikenakan zakat hanyalah 165 gram dan kadar itu telah dinaikkan kepada 250 gram berdasarkan situasi semasa masyarakat yang memakai emas.

"Emas dan perak adalah logam galian yang berharga kurniaan ALLAH SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu.

"Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderamata, ukiran atau perhiasan.

"Zakat diwajibkan ke atas mereka yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Azhari berkata, terdapat dua keadaan untuk pembayaran zakat emas iaitu emas yang tidak dipakai dan emas yang dipakai.


- Emas yang tidak dipakai

Artikel Berkaitan:

Emas yang tidak dipakai (disimpan sahaja) wajib dikeluarkan zakat apabila mencukupi atau melebihi kadar nisab (85 gram) nilai emas, maka diwajibkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus atas nilai emas sahaja.

Contoh kiraan sekiranya mempunyai emas perhiasan seberat 90 gram:

= (Berat Emas) X (Harga Emas Semasa) X (2.5%) =

= (90 gram) X (RM250) X (2.5%)

= RM562.50 (Jumlah yang wajib dibayar)

- Emas yang dipakai

Emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan tidak dikenakan zakat sekiranya ia tidak melebihi uruf (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Namun sekiranya ia memakai melebihi uruf baru dikenakan zakat ke atasnya. Penggunaan uruf ini banyak digunakan bersandarkan kepada pendapat Imam An-Nawawi yang berpegang kepada mazhab Asy-Syafie. Sebagai panduan, kadar urus terkini yang digunakan di Pulau Pinang adalah sebanyak 250 gram.

Contoh kiraan sekiranya mempunyai emas perhiasan seberat 258 gram:

= (Berat Emas) X (Harga Emas Semasa) X (2.5%) =

= (258 gram) X (RM250) X (2.5%)

= RM1,612.50 (Jumlah yang wajib dibayar)

Hanya berat emas dikira untuk pengiraan zakat tanpa mengambil kira batu-batu permata, berlian, delima, zamrud dan lain-lain.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"...Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah at-Taubah: 34)