Bajet 2022: Sistem internet di sekolah, IPT perlu diberi perhatian

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan mengenai sistem Internet dan peranti digital berikutan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang akan diteruskan sebagai normal baharu dalam sektor pendidikan perlu diberi penekanan pada pembentangan Belanjawan 2022, 29 Oktober ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, (NUTP) Aminuddin Awang ketika dihubungi berkata, pihaknya berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk menaik taraf sistem internet di sekolah bagi memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran pada era pasca Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan untuk pembelian peranti dan capaian Internet kepada pelajar-pelajar miskin juga perlu diberi perhatian kerana sesi PdPR dilihat akan diteruskan di fasa endemik ini.

“Kita dapat belajar daripada sesi PdPR sebelum ini, bagaimana teknologi dan internet ini sangat penting, walaupun mereka sudah mula pergi ke sekolah, tetapi mungkin selepas ini PdPR akan menjadi sokongan kepada pembelajaran secara bersemuka di sekolah,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Selain itu, Aminuddin turut meminta kerajaan mempertimbang untuk mewujudkan gred baharu buat guru-guru di sekolah iaitu gred DG 56 susulan ramai guru-guru kini berada di gred maksimum iaitu DG 54.

“Kita harapkan gred baharu itu sebab ramai sangat di dalam kalangan guru sekarang sudah berada di tahap DG 54, di gred ini mereka tidak bergerak, jadi kita mengharapkan gred DG 56 itu sebagai satu lapisan baharu untuk guru-guru,” katanya.

Beliau turut mengharapkan supaya kerajaan menyediakan rebat sebanyak RM1,000 kepada guru untuk membeli komputer riba atas urusan kerja kerana kebanyakan daripada mereka terpaksa menggunakan komputer sendiri selain menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk menyelenggara sekolah terutamanya di kawasan pedalaman dan Sabah serta Sarawak.

“Dulu pun sudah ada peruntukan untuk baik pulih sekolah, tapi kita dapati peruntukan untuk 10,200 sekolah di seluruh negara itu tidak mencukupi untuk sekolah yang majoritinya perlu diselenggara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut senada adalah Dekan, Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Gairuzazmi Mat Ghani yang mencadangkan kerajaan untuk menumpukan peruntukan kepada masalah yang dihadapi pelajar universiti ketika sesi kelas secara maya khususnya untuk pelajar daripada golongan B40.

Menurutnya, biarpun kita sedang beralih ke fasa endemik, kemungkinan besar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan terus mengamalkan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam talian yang memerlukan penggunaan teknologi terkini.

“Kami perlukan bantuan dalam bentuk rebet untuk beli barang-barang berkaitan e-pembelajaran, untuk membantu mendapatkan akses kepada bahan pengajaran dan pembelajaran, seperti komputer atau kamera dan wifi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, peruntukan khas perlu diberikan kepada keluarga daripada golongan B40 untuk mereka memulakan sesi persekolahan.

“Mereka memerlukan wang semacam pendahuluan untuk pembiayaan memulakan pembelajaran, saya rasa keperluan ini amat mendesak, khususnya di kalangan ibu bapa yang tidak bekerja dan tiada pendapatan yang memuaskan.

Kalau kerajaan boleh memberikan bantuan untuk memulakan perdagangan atau perniagaan, saya rasa perlu juga peruntukan khas untuk permulaan persekolahan dan pengajian untuk anak-anak ini,” katanya.

Di samping itu, beliau turut berharap jurang kemudahan, kemahiran serta kepakaran tenaga pengajar di antara sekolah di bandar dan luar bandar perlu diseimbangkan.

“Kepakaran guru-guru perlu diseimbangkan, guru-guru pakar bukan hanya perlu ditempatkan di bandar, tetapi juga di luar bandar,” katanya. - Bernama