Hari Akademia 5 Oktober hargai jasa pensyarah

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan 5 Oktober setiap tahun sebagai Hari Akademia Malaysia bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan para pensyarah negara ini.

Beliau berkata, sambutan yang merupakan 'detik bersejarah' itu akan bermula tahun ini.

"Kita ada Hari Guru sebagai tanda memperingati sumbangan para guru. Jadi, saya cadangan kita adakan satu hari sambutan untuk pensyarah-pensyarah universiti.

"Saya mencadangkan kita adakan sambutan Hari Akademia Malaysia, kita pilih satu tarikh yang khas, mungkin sempena Hari Guru Antarabangsa, yang diadakan pada bulan Oktober," kata beliau ketika berucap pada majlis Bicara Menteri Bersama Kongres Persatuan Akademik Malaysia dan Pegawai-Pegawai Pendidikan Sabah di Tawau hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Dr. Yusof Yakob; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. D. Kamaruddin D. Mudin.

Di Malaysia Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun.

Maszlee berkata, mendidik adalah satu tugas yang mulia.

"Suka untuk saya nyatakan terima kasih saya kepada para pendidik, di universiti mahupun di sekolah, di bandar mahupun di desa, kerana berada dalam profesion ini dan dengan ikhlas mendidik dan membentuk pelajar-pelajar kita menjadi manusia yang berketerampilan, berperibadi unggul, dan sekali gus menjadi harapan negara di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Teruskanlah mendidik. Mendidik ialah tugas yang paling mulia. Malala Yousafzai pernah menyebutkan, 'One child, one teacher, one book, one pen can change the world'," katanya.