PRN Melaka: PH kesal hanya pengundi lengkap vaksin boleh mengundi

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) melahirkan kekesalan dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa hanya pengundi yang telah lengkap vaksin Covid-19 boleh mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan memilih.

“Sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.

“Kami menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian silap ini untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Abdul Ghani pada Isnin mengumumkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka.

Beliau turut dilapor menyatakan hanya pengundi yang lengkap divaksin akan dibenarkan mengundi pada PRN Melaka.

Menurut Majlis Presiden PH, mereka kurang bersetuju dengan pengumuman SPR berhubung PRN Melaka.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga berpendirian bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN, memandangkan penularan wabak Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula dan kerisauan berlakunya gelombang keempat.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Walau bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari pada Rabu ini akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Satu sijil perakuan segera telah turut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan notis pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi (Isnin). Majlis Presiden menyokong penuh tindakan mahkamah yang diambil PH Melaka.

"Ini kerana PH berpendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah," kata kenyataan itu.