Perkembangan positif dalam situasi Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PENGELUARAN dan eksport minyak sawit mentah (MSM) dijangka mampan pada 2022, disokong oleh perkembangan positif dalam situasi Covid-19, prospek minyak dan lemak global yang lebih baik dan dasar perdagangan yang menggalakkan di negara-negara pengimport, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, situasi itu merupakan kesinambungan daripada peningkatan yang dilihat menjelang akhir tahun 2021 apabila pengeluaran dan eksport dijangka menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, sekali gus menjadikan paras stok lebih terurus dan menyebabkan pembetulan dalam harga MSM.

“Berdasarkan situasi tersebut, harga MSM pada 2021 dijangka kekal tinggi pada purata RM4,100 satu tan,” katanya dalam pembentangan slaidnya pada seminar dalam talian Pointers on Price Trends Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pada Isnin.

Beliau mengunjurkan pengeluaran MSM Malaysia pada tahun ini sebanyak 18 juta tan, merosot enam peratus daripada 19.14 juta tan dan stok meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 1.70 juta tan daripada 1.27 juta tan pada 2020.

Eksport minyak sawit dijangka merosot sebanyak 6.2 peratus kepada 16.30 juta tan daripada 17.37 juta tan pada 2020.

Bagi pendapatan, Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan eksport sebanyak RM95 bilion daripada minyak sawit, naik 29.7 peratus daripada RM73.25 bilion dicatatkan pada 2020.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga September 2021, industri minyak sawit Malaysia telah menyaksikan prestasi pengeluaran yang rendah berbanding tempoh sama pada 2020, yang mengehadkan kapasitinya untuk mengeksport dan stok terhad.

Beliau memberitahu, pengeluaran merosot kepada paras terendah sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, eksport MSM susut 12 peratus kepada 11.24 juta tan daripada 12.77 juta tan dicatatkan pada tahun lepas.

"Disokong oleh ketersediaan bekalan yang terhad, harga MSM dalam tempoh tersebut melonjak kepada paras tertinggi dan meningkatkan pendapatan eksport," katanya. - Bernama