X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Tak sempat lamar kekasih, pusat hiburan diserbu

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menyoal siasat pengunjung yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Mergong di sini pada malam Ahad.
A
A

ALOR SETAR - Hasrat seorang lelaki membuat kejutan untuk melamar teman wanitanya di dalam sebuah bilik di pusat hiburan di Mergong di sini pada malam Ahad tidak kesampaian apabila premis itu diserbu polis.

Dia yang telah membuat persediaan lengkap termasuk menghiasi bilik berkenaan dengan belon berbentuk hati diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan itu, 21 individu yang terdiri daripada pelanggan pusat hiburan itu masing-masing dikompaun RM2,000, manakala penganjur pula RM25,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, premis berkenaan didapati melanggar SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi.

"Pemilik premis juga didapati menggajikan pekerja yang belum divaksin selain beberapa pengunjung tidak mendaftar MySejahtera.

"Pusat hiburan terbabit cuba mengaburi mata pihak polis dengan memulakan operasi pada waktu petang dan menamatkan operasi lebih awal sekitar jam 10 malam," katanya ketika ditemui selepas operasi di sekitar Bandaraya Alor Setar di sini pada malam Ahad.

Kamarul Zaman berkata, kesemua individu yang terdiri daripada enam wanita dan 15 lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan serta dibawa ke ibu pejabat untuk saringan air kencing.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, jenayah indeks di Kedah merekodkan penurunan sebanyak 179 kes atau 5.51 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga 16 Oktober lalu berbanding 3,247 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, polis Kedah merekodkan 3,068 kes jenayah indeks untuk tempoh berkenaan pada tahun ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!