X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Hak asasi manusia perlu ikut ketetapan ALLAH SWT: Abdul Hadi

Abdul Hadi
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan hak asasi manusia hendaklah mengikut pada fitrah dan peranan yang sudah ditentukan oleh ALLAH SWT.

Beliau berkata, hak asasi manusia merupakan prinsip moral atau norma yang menggambarkan standard tingkah laku manusia tertentu dan ia dilindungi secara berkala sebagai hak semula jadi serta undang-undang.

“Setiap individu tanpa mengira umur, etnik, lokasi, bahasa, agama atau status menginginkan hak asasi yang sama rata, antaranya hak untuk hidup dan menjadi warganegara, mempunyai rumah, mendapatkan perbicaraan yang adil serta memiliki harta.

“Selain itu, mereka juga ingin mendapatkan kebebasan hidup termasuk akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan hak untuk mempercayai serta mengamalkan agama yang dikehendaki,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebook miliknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain dengan asas kefahaman bahawa setiap insan mempunyai maruah serta harga diri.

Jelasnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan hak-hak asasi yang sepatutnya dimiliki setiap insan yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) pada tahun 1948 untuk memastikan maruah dan harga diri manusia sentiasa dihormati serta dilindungi.

“Namun, kini kita telah menyaksikan keruntuhan jati diri manusia dalam dunia barat. Contohnya, keruntuhan institusi kekeluargaan apabila anak sendiri menugaskan orang lain untuk menjaga ibu bapa yang tua dan uzur kerana kononnya mereka tidak cukup masa serta berhak untuk bekerja.

“Lebih malang lagi, ada kalangan mereka yang meletakkan hak asasi manusia setaraf dengan binatang yang tidak berakal,” ujarnya.

Beliau menambah, manusia sendiri yang bertindak sebagai makhluk perosak dan menimbulkan masalah dengan meminda ketetapan oleh ALLAH SWT.

“Biarkan mereka wujud di negara-negara barat, bagaimanapun golongan ini juga mempunyai pengikutnya di Malaysia.

“Hari ini mereka mula menunjukkan protes terhadap kedudukan hak asasi di negara tempat kakinya berpijak. Silakanlah melompat ke bumi lain yang dipilih, janganlah membuat kerosakan di sini,” jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!