X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Tiga pelajar antara 18 ditahan terlibat parti liar di Melaka

A
A

MELAKA - Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah serta seorang pelajar lelaki dan perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) antara 18 individu ditahan selepas terlibat dalam parti liar di sebuah inap desa di Alai, di sini awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kesemua 14 lelaki, pelajar perempuan serta tiga wanita berusia lingkungan 15 hingga 24 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.25 pagi.

"Tiga pelajar terbabit antara 13 individu yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, ketika serbuan, kesemua individu berkenaan sedang leka dan khayal selain polis menemukan pembesar suara dipercayai untuk berparti.

Menurut Zulkiflee, hasil pemeriksaan lanjut, dua daripada mereka turut didapati memiliki satu bungkusan plastik lut sinar dipercayai pil ekstasi seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat ceraian daun kering dadah jenis ganja seberat 2.60 gram.

Beliau berkata, kedua-duanya direman empat hari hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kesemua individu lain yang didapati positif dadah hasil saringan awal air kencing itu pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!