PDRM siasat cubaan seludup heroin RM431 juta ke Australia

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia bagi menjalankan siasatan lanjut dalam kes seorang lelaki warga Malaysia ditangkap dipercayai berhubung cubaan menyeludup dadah ke Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, media melaporkan bahawa individu itu ditahan oleh pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara tersebut.

"Segala tindakan akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran, penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu media melaporkan, Polis Australia merampas penghantaran heroin terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta) dan seorang lelaki warga Malaysia ditahan berhubung kesalahan mengimport dadah berkenaan yang dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

Dalam satu kenyataan, polis Australia memaklumkan dadah seberat 450 kg atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diiktiraf mengandungi jubin seramik.

Polis tidak menamakan lelaki ditahan itu, seperti mana amalan biasa di Australia, kecuali jika membabitkan pendedahan identiti suspek dianggap memiliki kepentingan pada keluarga mangsa atau masyarakat.

Menurut polis, suspek didakwa mengimport dan cuba memiliki dadah kawalan dalam kuantiti komersial yang mana penalti maksimum bagi kesalahan itu adalah penjara seumur hidup.

Pesuruhjaya Pemerintah Selatan Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan polis di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami meneruskan kerjasama bagi mengenal pasti dan menggagalkan sindiket jenayah terancang rentas sempadan yang cuba mengancam kedua-dua negara.

"Mereka mengaut keuntungan jutaan dolar daripada kegiatan jenayah seperti ini," katanya dalam satu kenyataan.

Polis menganggarkan rampasan heroin itu berjaya menyelamatkan 225 nyawa, berdasarkan unjuran terdapat satu kematian dalam komuniti Australia bagi setiap dua kilogram heroin yang digunakan.