Melaka kaji, tambah baik KPI kontraktor pembersihan

Kamel (kanan) mencantas dahan pokok sebagai simbolik Op Gerak Gempur Pembersihan Bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Ayer Keroh, pada Ahad. Turut hadir, Shadan (dua, kiri). -Foto Bernama
Kamel (kanan) mencantas dahan pokok sebagai simbolik Op Gerak Gempur Pembersihan Bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Ayer Keroh, pada Ahad. Turut hadir, Shadan (dua, kiri). -Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji dan menambah baik Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kontraktor pembersihan di negeri itu bagi memastikan imej negeri pelancongan terpelihara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad berkata, langkah itu selaras dengan penekanan kerajaan negeri terhadap aspek kebersihan yang menjadi agenda utama dalam pembangunan ekonomi negeri.

"Kita akan melihat pelan kerja setiap kontraktor kebersihan bagi memastikan projek atau kerja-kerja pembersihan yang diberikan kepada mereka dilaksanakan dengan baik dan teratur tanpa menunggu aduan daripada kerajaan negeri.

"Saya juga telah meminta setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka untuk memberi laporan berhubung kerja-kerja pembersihan melibatkan kontraktor yang dilantik dan semakan serta penilaian terhadap pencapaian mereka akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas Op Gerak Gempur Pembersihan Bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Ayer Keroh di sini pada Ahad.

Turut hadir ialah Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Kamel berkata, pembayaran yang dibuat kepada kontraktor pembersihan dilantik juga adalah berdasarkan prestasi kerja mereka.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Melaka memainkan peranan menjaga kebersihan negeri itu dengan melibatkan diri dalam aktiviti pembersihan atau gotong-royong di kawasan sekeliling mereka.

"Tanggungjawab menjaga kebersihan tidak harus diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan negeri tetapi rakyat juga perlu membantu. Mereka boleh melaporkan kepada PBT jika terdapat kawasan yang tidak dibersihan atau terdapat longgokan sampah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shadan berkata, peningkatan kemasukan pelancong ke Melaka terutama di kawasan Ayer Keroh semalam mengundang peningkatan sampah seperti botol dan tin minuman yang dibuang merata-merata sehingga mencacatkan pemandangan.

Beliau sehubungan itu berkata, MPHTJ bersama 12 kontraktor dengan kekuatan lebih 60 anggota dan kakitangan menggerakkan Ops Gempur bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

"Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Melaka tetapi menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama," katanya. - Bernama