Kerajaan beri tumpuan pelajar luar bandar

Ismail Sabri pada majlis penyerahan peranti komputer kepada pelajar luar bandar (B40). -Foto: Sumber Facebook rasmi Ismail Sabri
Ismail Sabri pada majlis penyerahan peranti komputer kepada pelajar luar bandar (B40). -Foto: Sumber Facebook rasmi Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad berkongsi di Facebooknya seramai 73 pelajar daripada 1,093 pelajar Parlimen Bera menerima peranti komputer melalui Program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut beliau, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelajar luar bandar khususnya golongan B40 bagi memastikan mereka mampu mendapat keputusan cemerlang dalam pendidikan.

Tambahnya, 90 peratus daripada penerima merupakan pelajar B40.

“Dalam cabaran teknologi dunia yang serba canggih ditambah kemelut pandemik Covid-19, peranti komputer adalah sangat penting bagi memudahkan pembelajaran dan meningkatkan mutu pemahaman pembelajaran harian khususnya pelajar luar bandar.

“Saya turut menekankan kepentingan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar melalui program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkat jaringan komunikasi dan capaian internet, merangkumi proses pembelajaran yang lebih holistik, pantas serta dinamik.

“Tahniah kepada semua pelajar yang menerima peranti pada kali ini. Saya berharap keputusan pelajar-pelajar di Bera akan terus cemerlang,” katanya menerusi media sosial itu,

Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap warga pendidik mendapatkan dua dos vaksin bagi melindungi pelajar.

“Ini kerana kepentingan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: