Tenang, jangan tergesa-gesa sangat ketika beribadah

No Image Caption
A
A
A

ADA kalanya kita tergesa-tergesa dalam melakukan sesuatu. Kadangkala hal-hal lain terpaksa diabaikan untuk mencapai sesuatu itu. Ia memang lumrah sikap manusia dalam waktu-waktu tertentu.

Namun, dalam hal berkaitan ibadah, kita sebenarnya tidak boleh tergesa-gesa. Sikap seperti ini merupakan sikap tercela dalam Islam yang sebaiknya perlu dihindari.

Kenapa sikap itu tidak begitu disenangi dalam Islam? Dek kerana tergesa-gesa, ia akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah. Akhirnya, menyebabkan amalan tersebut ditolak ALLAH SWT.

Justeru, setiap muslim hendaklah sentiasa bersikap tenang. Sikap ini amat diutamakan dalam melaksanakan ibadah.

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah.

Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang.

Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." (Riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, an-Nasaie & Ahmad)

Berdasarkan hadis itu, umat Islam dituntut agar melakukan ibadah sama ada solat, haji dan sebagainya dengan penuh ketenangan.

Artikel Berkaitan:

Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketakwaan kepada ALLAH SWT dalam hatinya.

(Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)