RM6.3 juta barangan seludup dirampas

Azhari (kanan) menunjukkan beras siam yang merupakan salah satu barangan kontraban paling banyak dirampas sepanjang tempoh penugasan dan mencatatkan nilai yang tertinggi iaitu RM5.03 juta.
Azhari (kanan) menunjukkan beras siam yang merupakan salah satu barangan kontraban paling banyak dirampas sepanjang tempoh penugasan dan mencatatkan nilai yang tertinggi iaitu RM5.03 juta.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lebih RM6.3 juta pelbagai barangan seludup dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan sejak mengambil alih penugasan Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula 16 September sehingga Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, sepanjang tempoh penugasan itu, rampasan membabitkan barangan kontraban seperti pakaian, vape, rokok dan pelbagai jenis makanan mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM5.03 juta.

"Rampasan membabitkan penyeludupan haiwan seperti lembu, rusa dan kambing berjumlah RM847,440 menjadi penyumbang kedua tertinggi kepada kejayaan itu.

"Ia diikuti oleh barangan kawalan seperti tepung, minyak masak dan petrol berjumlah RM235,025," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau selain itu berkata, rampasan membabitkan dadah, daun ketum, ubat batuk dan haiwan eksotik turut berjaya dilakukan Batalion 7 PGA Kuantan.

Menurutnya, pasukan tersebut turut menahan seramai 94 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

Sementara itu, Azhari berkata, seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Benteng Covid-19 itu.

"Menerusi operasi itu, kita dapati trend membawa masuk PATI sepanjang tempoh penugasan kali ini ialah menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan pacuan empat roda seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua kenderaan itu menggunakan cermin gelap bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Azhari berkata, kemua kejayaan tangkapan PATI itu diperoleh hasil penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu dan Cabang Empat Salam.

"Fokus utama PGA sebagai agensi penguat kuasa di sempadan adalah mencegah dan membenteras segala bentuk penyeludupan termasuk jenayah rentas sempadan walau dalam apa jua keadaan," kata beliau.