X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

MOSTI optimis sasaran penyertaan Malaysia ke Expo Dubai 2020 dicapai

Dr Adham Baba
A
A

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) optimis sasaran penyertaan Malaysia ke Expo 2020 Dubai iaitu menjana nilai perniagaan dan pulangan pelaburan sebanyak RM8 bilion hingga RM10 bilion dapat dicapai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penyertaan tersebut memberi peluang bagi menonjolkan kepakaran teknologi dan keupayaan inovasi Malaysia di pentas antarabangsa.

Secara tidak langsung, katanya, ia dapat mengukuhkan jaringan perhubungan yang luas untuk menarik kunjungan daripada kalangan pemegang taruh antarabangsa yang berprofil tinggi.

Menurutnya, ia juga merupakan salah satu daripada usaha bagi memacu dan memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas ucapan tahniah dan sokongan terhadap kejayaan MOSTI menjana lebih RM7.2 bilion pulangan perdagangan dan pelaburan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai.

“Bagi minggu pertama di Expo 2020 Dubai, Technology Park Malaysia (TPM) yang merupakan agensi di bawah MOSTI telah menjana sebanyak RM5.96 bilion pulangan perdagangan dan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Adham berkata, jumlah RM5.96 bilion tersebut merangkumi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Technology Park Malaysia dan Ztartup.com; Purely B dan AM Zaideen Sdn Bhd; serta DeTmax Engineering Sdn Bhd dan ADV Fusionex Sdn Bhd bernilai RM150 juta, selain tiga surat niat (LoI) yang membawa nilai RM2.73 bilion serta dua memorandum kerjasama (MoC) bernilai RM29 juta.

“Sementara itu, sebanyak 64 potensi perniagaan (business leads) telah dijalankan dengan Emiriah Arab Bersatu, Namibia, Argentina, Kosovo, Slovenia, Slovakia dan Kanada yang bernilai RM3.05 bilion.

“Seterusnya, pada minggu kedua penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai, Cradle Fund Sdn Bhd iaitu agensi di bawah MOSTI telah memetarai 11 MoU dan menjana pulangan perdagangan serta pelaburan sebanyak RM1.26 bilion.

“Antara syarikat tersebut ialah Techcapital Resources Sdn Bhd dan Terrabit Consulting Pvt Ltd, India; Techcapital Resources Sdn Bhd dan Shaheena Foodstuffs Trading, UAE; Euro Circuit Technology Sdn Bhd dan Modern Arab Laboratories LLC (MODAL), Oman; serta Euro Circuit Technology Sdn Bhd dan Bardawil Specialties Qatar W.L.L, Qatar,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!