'Mana ada pilih kasih...'

No Image Caption
A
A
A

PENGACARA Syakirin Husnal menolak dakwaan netizen bahawa pemilihannya sebagai finalis bagi Pencarian Hos Mingguan Wanita sebagai tidak adil.

Menurut Syakirin, 30, dia juga melalui proses yang sama dengan peserta lain sebelum terpilih sebagai finalis.

Malah Syakirin memberitahu sebagai ibu kepada seorang anak, dia juga melalui pelbagai cabaran dan rintangan untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Syakirin pun usaha juga! Hahahahaha. Waktu kakak lulus dan tersenarai pendek lepas ujibakat hari itukan, Alhamdulillah, gembiralah.

“Tapi adalah pula beberapa orang yang komen macam 'bagilah wajah baru pula', 'orang yang sudah selalu kat TV tak payahlah', yang paling drama 'kesian orang lain dari jauh, tinggalkan keluarga, menahan lapar dahaga'.

No Image Caption

“Syakirin pun usaha jugaklah! Percayalah, ia adalah ujian yang sangat adil. Kakak pun beberapa hari sebelum uji bakat; dah 'brainstorm' dah apa topik nak sediakan, baca-baca isu terkini, cari baju nak pakai, isi borang online, cetak buat dua salinan sekiranya apa-apa berlaku, pergi cari kedai cetak gambar! Gila tapi takpalah, melabur nak berjaya," tulisnya yang juga merupakan pengacara Go Shop ini melalui Instagram (IG) miliknya.

Ceritanya lagi, pada hari uji bakat tersebut, memandangkan dia mempunyai anak yang masih menyusu badan, dia terpaksa bangun awal untuk membuat segala persediaan kerana dia berhadapan dengan sesi uji bakat yang padat kerana yakin ramai yang akan menghadirinya.

“Sebelum subuh sudah bangun susukan anak, mandi, pam susu pulak, solat, bersolek, sarapan (sebab tahu akan lama punya), sediakan roti, air buat bekal, pagi-pagi lagi dah memandu jauh ke Shah Alam. Sebelum kaunter pendaftaran dibuka kakak dah sampai ambil nombor giliran.

“Beratur juga macam orang lain. Siap sedia pam, takut lama, nanti nak pam susu. Menghadap juri, sama jugak macam orang lain. Tak ada terus tandatangan kontrak. Tengok adil apa.

“Sama juga untuk uji bakat-uji bakat lain yang saya pergi sebelum ini. Cuma bezanya, bila tak dapat, saya tak salahkan orang lain. Kita baiki diri," tulisnya lagi.

Namun katanya, dia tidak berasa hati dengan sebahagian komen netizen itu kerana yakin masing-masing mempunyai peluang.

Rata-rata pengikutnya juga kagum dengan kegigihan wanita itu dan mendoakan agar Syakirin berjaya dalam pertandingan tersebut.

"Sudah lama nak tahu umur Syakirin. Akhirnya dalam pencarian hos ini dapat tahu. Hahaha. Saya undi kakak. Semoga berjaya," tulis hasnulhuda.

"Jangan fikir apa orang kata... Rezeki masing-masing," tulis noorzetty.

"Tak payah nak fikir sangat @syakirinhusnal...Setiap orang ada rezeki masing-masing yang ALLAH sudah tentukan," tulis izamandez.