KJ minta ambil tindakan segera terhadap kumpulan antivaksin

Khairy
Khairy
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap kumpulan antivaksin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah dengan membuat beberapa laporan polis terhadap golongan tersebut.

“KKM sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan (siasatan, pendakwaan dan lain-lain) dapat disegerakan.

“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Jumaat.

Khairy berkata demikian sebagai membalas ciapan pakar perubatan keluarga, Dr Sakinah Sulong yang mempersoalkan kumpulan antivaksin di Malaysia dilihat kebal daripada tindakan pihak berkuasa walaupun berterusan menyebarkan dakwaan dan berita palsu.

“Sedangkan mantan Perdana Menteri, Presiden UMNO pun turun naik mahkamah, tapi antivaksin ini lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati. Tabur fitnah sana sini, 'no action' (tiada tindakan). Sampai bila?” ciap Dr Sakinah.

Sementara itu, Dr Sakinah turut memuat naik tangkap layar kumpulan di Telegram yang mendakwa terdapat remaja yang mengalami kesan sampingan teruk setelah menerima suntikan vaksin Covid-19.