Tular lelaki lari dari wad solat tengah jalan raya

Anggota trafik sedang mengawal lalu lintas serta kemudiannya menenangkan lelaki berkenaan.
Anggota trafik sedang mengawal lalu lintas serta kemudiannya menenangkan lelaki berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki mengerjakan solat di tengah jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan mengejutkan pengguna jalan raya berhampiran Jalan Ipoh, berdekatan Shell Taman City menghala ke pusat bandar pada Rabu.

Aksi lelaki tersebut turut tular menerusi video berdurasi 30 saat yang dimuat naik di laman Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.35 petang.

"Anggota trafik yang bertugas membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan kesesakan di Jalan Ipoh, setibanya di lokasi anggota berkenaan mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.

"Anggota tersebut kemudiannya bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke Stesen Minyak Shell berhampiran menenangkannya," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital.

"Semakan turut mendapati, lelaki berkenaan merupakan warga tempatan berumur lingkungan 30 tahun dan sedang menerima rawatan pesakit psikiatri di Hospital Selayang.

"Lelaki tersebut juga didapati telah melarikan diri daripada wad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis kemudiannya menghubungi Hospital Selayang untuk tindakan lanjut sebelum lelaki berkenaan dibawa oleh ambulans untuk rawatan selanjutnya.