MAIS lega tuntutan hutang Bank Muamalat ditolak

Abdul Aziz Mohd Yusof
Abdul Aziz Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir tuntutan hutang dibuat Bank Muamalat Malaysia Berhad terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada Rabu.

Ia melibatkan tuntutan berjumlah RM326.7 juta yang dihutang oleh pemaju, Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) di bawah kemudahan pembiayaan bagi pembinaan bangunan asrama pelajar di KUIS.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS meluahkan kesyukuran dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel Mahkamah Persekutuan bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Keputusan Mahkamah Rayuan adalah tepat dalam menolak tuntutan Bank Muamalat di mana tiada klausa dalam Perjanjian Jaminan menimbulkan liabiliti MAIS dan RRSB," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah membenarkan tuntutan Bank Mualamat terhadap MAIS dan KUIS bagi jumlah RM326.7 juta.

Mahkamah Rayuan kemudian telah membenarkan rayuan MAIS dan KUIS untuk mengetepikan tuntutan bank tersebut.

Abdul Aziz berkata, MAIS dan KUIS diwakili peguam daripada Tetuan Abu Zahar Syed Mohd Fuad & Partners cawangan Kelana Jaya terdiri Nurul Muhaniza Hanafi, Mohd Radzi Yatiman dan Nor Albina Alleseana Jaib.

Artikel Berkaitan:

"Dalam alasan ringkas, Rohana memutuskan bahawa Klausa 7 dalam perjanjian adalah jelas dan Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat.

"Pihak pemohon gagal memenuhi ketetapan bagi rayuan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan, maka dengan itu permohonan Bank Muamalat ditolak dengan kos," katanya.

Tambahnya, MAIS mengucapkan terima kasih kepada pihak peguam mewakili MAIS dan KUIS yang bertungkus lumus dalam menyediakan hujahan yang diterima oleh pihak mahkamah.