Kerugian Khazanah beri kesan kepada ekonomi negara

Khazanah
Khazanah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerugian yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara memandangkan organisasi itu merupakan syarikat induk bagi cabang pelaburan.

Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkata, ini kerana kerugian berjumlah RM6.27 bilion seperti yang dilaporkan itu juga memperlihatkan kelemahan kerajaan dalam menguruskan pelaburan negara.

“Situasi ini juga dijangka akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi cabaran kepada syarikat terutamanya syarikat kecil untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Selain itu, ia turut memberi kesan terhadap keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk membuat pelaburan di Malaysia, malah mungkin ada yang akan menarik balik pelaburan yang dibuat sebelum ini,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah rugi buat pertama kali sejak 2005

Jelas Roshaiza lagi, kerajaan perlu membuat penstrukturan semula pelaburan yang telah dilaksanakan bagi mengatasi kerugian dialami ketika ini.

“Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru dan memerlukan kajian yang mendalam.

“Jadi, penelitian merangkumi pelbagai aspek harus dilaksanakan segera supaya kerugian yang sedang ditanggung ketika ini dapat diatasi sebaiknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, tahun lalu juga menjadi cabaran besar buat syarikat-syarikat selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

“Perubahan kerajaan juga turut mengakibatkan berlakunya perubahan dasar negara sebagai contoh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),katanya.

Terdahulu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mendedahkan, syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya.