Kokurikulum Pendidikan Islam 2021 hanya libatkan IKK, MIISMAM

Abdul Aziz - Foto Bernama
Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan program kokurikulum Pendidikan Islam peringkat kebangsaan Tahun 2021 hanya melibatkan dua aktiviti sahaja bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, aktiviti berkenaan ialah Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Kebangsaan (IKK) dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) yang dilaksanakan secara rakaman video bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Ekoran daripada pandemik Covid-19 dan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan wabak, pelaksanaan program kokurikulum pada tahun ini hanya melibatkan dua aktiviti iaitu IKK dan MIISMAM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, program kokurikulum merupakan program tahunan yang diadakan sejak 2014 kecuali pada 2020 apabila negara kita dilanda pandemik Covid-19.

Program kokurikulum Pendidikan Islam sebelum ini melibatkan aktiviti IKK, MIISMAM, Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (Kessuma) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA).

Peserta program adalah murid-murid KAFA, Sekolah Menengah Agama (SMA) seluruh negara di bawah kawal selia Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri dan penyelarasan Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

Abdul Aziz berkata, acara yang dipertandingkan pada kali ini adalah sesuai untuk dilaksanakan secara rakaman dan menepati SOP Majlis Keselamatan Negara iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan bercerita kisah al-Quran bagi IKK.

Bagi MIISMAM, acaranya melibatkan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, syarahan Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Khat dan bacaan Kitab Thurath.

Artikel Berkaitan:

Antara objektif pelaksanaan IKK dan MIISMAM bagi membolehkan pelajar mendapat markah merit program kokurikulum iaitu 10 peratus untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh dan Universiti Awam.

Tempoh pelaksanaan IKK dan MIISMAM bermula dari April hingga Oktober ini.

Pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri (April- 14 September);

Tarikh cabutan tajuk (11 Ogos)

Tarikh cabutan tajuk bagi acara hafazan al-Quran, Kitab Turath dan khat (13 September)

Tarikh akhir penghantaran pautan rakaman pertandingan peringkat kebangsaan (15 September)

Penilaian oleh hakim (13-17 Oktober).

Majlis penyampaian hadiah (12 November)

Abdul Aziz berkata, penyertaan yang diterima selepas tarikh ditetapkan tidak akan diterima oleh pihak Jakim.

Majlis penghakiman diadakan di Bilik Seminar AlBaiyinah, Aras 5, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya di sini dan para penonton boleh mengikutinya secara langsung di Facebook Jakim serta sisipan rancangan melalui Persada Jurnal di TV1.

“Walaupun ia dilaksanakan dengan norma baharu namun harapan kita untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademiknya tetapi mantap dari segi bakat kokurikulum dapat dijelmakan,” katanya. - Bernama