Jangan berbalah hanya sebab isu calon

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) meninjau di dalam rumah mampu milik Type A di Taman Bukit Sarimban, hari ini. Foto: Bernama
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) meninjau di dalam rumah mampu milik Type A di Taman Bukit Sarimban, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Jangan berbalah sesama sendiri hanya disebabkan isu calon sebaliknya terus bekerja untuk memastikan kemenangan PH pada PRK DUN Rantau, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, soal pemilihan calon akan ditentukan pucuk pimpinan termasuk mengambil kira potensi calon boleh menang.

“Kita terima berbelas nama seperti disebut Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Kita harap mereka di bawah, penyokong dan pengundi bersabar, jangan soal pemilihan calon kita berbalah, kita harus bekerja untuk kemenangan bukan fikirkan siapa calon.

“Soal calon akan ditentukan pucuk pimpinan mengambil kira juga pandangan di bawah untuk dibincangkan dan melihat potensi calon boleh menang, bukan tidak ambil kira langsung pandangan di bawah, itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pengundian Rumah Mampu Milik Type A, Taman Bukit Sarimban di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata dalam proses memilih calon perlu mengambil kira beberapa kriteria dan parti juga mempunyai strategi untuk memastikan kemenangan PH pada PRK bagi kerusi DUN Rantau itu.

“Jadi saya harap mereka faham, nak pilih calon ambil kira beberapa kriteria, beberapa soalan perlu pimpinan lihat, kita tidak mahu selepas umum calon berlaku kesilapan.

“Harap pengundi dan petugas (jentera parti) kena faham, kita tahu tidak semua kita suka itu dapat jadi calon dan diterima rakyat sebab ramai yang tawarkan diri, jadi kebijaksanaan itu penting sebenarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin mengakui PH akan turun sebagai 'underdog' pada PRK DUN Rantau, namun akan memastikan calon parti berkenaan memberi saingan sengit kepada calon lain.

“Kita akan turun sebagai ‘underdog’ dan akan pastikan kita memberi cabaran sepenuhnya, kita rasa kita yang akan mencabar mereka bukan mereka mencabar kita di kubu kuat (Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden) Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan PRK DUN Rantau akan berlangsung 13 April ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan 30 Mac, manakala hari mengundi awal pada 9 April.- Bernama