Penulis terkenal enggan novelnya diterjemah syarikat Israel

Sally Rooney. - Foto AFP
Sally Rooney. - Foto AFP
A
A
A

DUBLIN - Seorang penulis Ireland, Sally Rooney berkata pada Selasa bahawa dia tidak mahu novel terbaharunya berjudul 'Beautiful World, Where Are You' diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew oleh sebuah syarikat penerbitan Israel.

Keengganannya itu adalah disebabkan oleh kempen memboikot Israel berhubung layanan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

Rooney berkata, dia tidak berasa berhak untuk menerima kontrak dengan sebuah syarikat dari Israel yang didakwanya tidak menjauhkan daripada pelaksanaan polisi yang mengasingkan penduduk Palestin.

Beliau juga menyokong hak-hak penduduk Palestin seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam satu kenyataan, penulis wanita berusia 30 tahun itu berkata, buat masa sekarang, beliau enggan memilih untuk menjual hak-hak terjemahan novel terbaharunya kepada sebuah syarikat penerbitan Israel.

Sambil menyebut laporan hak asasi manusia, Rooney berkata, sistem penguasaan perkauman dan pengasingan penduduk Palestin telah memenuhi definisi aparteid di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau menyatakan sokongannya terhadap sebuah pergerakan iaitu 'Boikot, Nyahlabur dan Sekatan' ke atas mana-mana firma serta institusi yang melaksanakan sistem aparteid dan lain-lain pelanggaran hak asasi manusia.

Rooney berkata, pergerakan tersebut merupakan model pemboikotan ekonomi dan budaya yang berjaya membantu menamatkan polisi aparteid di Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan:

Novel 'Beautiful World, Where Are You' diterbitkan pada September lalu lalu menjadi 'bestseller' di United Kingdom (UK) dan Ireland.

Namun, tindakannya itu mendapat kritikan daripada pengkritik kesusasteraan dari Amerika Syarikat (AS), Ruth Franklin dengan menyatakan untuk menghukum Israel dengan standard yang berlainan adalah bersifat antisemantik. - Agensi