Global: Ukraine pertingkat kawalan keselamatan

Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berucap di sebuah pangkalan tentera udara Ukraine.- Foto wsau.com
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berucap di sebuah pangkalan tentera udara Ukraine.- Foto wsau.com
A
A
A
KIEV - UKRAINE. Presiden Ukraine Petro Poroshenko berkata, kerajaannya meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negaranya bagi menghadapi ancaman Rusia.

Poroshenko semalam mengulangi dakwaan bahawa Rusia menghantar pasukan tentera dalam jumlah besar ke timur Ukraine yang dikawal pasukan pemisah pro Rusia dan di Crimea, kawasan jajahan Rusia sejak tahun 2014.

“Rusia mengerahkan pasukan darat dengan kekuatan kira-kira 80,000 anggota, hampir 1,400 meriam dan sistem peluru berpandu, 900 kereta kebal, 2,300 kenderaan perisai, hampir 500 pesawat dan 300 helikopter,” kata Poroshenko menerusi Twitter.

Moscow turut didakwa menggerakkan pasukan tentera laut di Laut Hitam dan Laut Azov yang dikongsi kedua-dua negara.

Menurut Poroshenko, kerajaannya kini meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara termasuk loji hidro dan nuklear, kilang kimia dan pelabuhan di Laut Hitam serta Laut Azov.
Artikel Berkaitan:


Siaran televisyen Ukraine ‘112 Ukraine’ pula memaparkan Poroshenko menyerahkan pesawat baharu, helikopter dan dron kepada tentera Ukraine.

Presiden Rusia, Vladimir Putin bagaimanapun berkata, pertempuran di Laut Hitam minggu lalu hanya satu insiden kecil di kawasan sempadan, dan beliau mendakwa, Poroshenko mencipta provokasi untuk meningkatkan populariti sebelum pilihan raya tahun depan.

Pada 25 November lalu, pihak pengawal sempadan Rusia dilaporkan melepaskan tembakan dan merampas tiga kapal laut milik Ukraine serta kelasinya yang didakwa menceroboh perairan mereka.- Reuters