Keperluan ujian Covid-19 pelancong ke Langkawi dihentikan: Khairy

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif Covid-19 semasa saringan yang sangat rendah.

"Pemberhentian keperluan menjalani ujian oleh pengembara ke Langkawi ini berkuatkuasa mulai Selasa," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

"Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Khairy berkata, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan perlu dipatuhi.

"Bagi individu yang disahkan positif dan kontak rapat, serta sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan adalah tidak dibenarkan melancong," jelasnya.

Beliau berkata, mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema juga dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan.

Artikel Berkaitan:

"Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, sehingga 10 Oktober lalu, seramai 54,341 pelancong sudah menjalani ujian pengesanan Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 216 orang atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif.

"Hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR. Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi," katanya.

Tambah Khairy, tiada kluster Covid-19 yang berpunca dari gelembung pelancongan di Langkawi sejak ia dilaksanakan 16 September lalu.