Kerjasama Pas-UMNO tak akan berjaya: Wan Saiful

No Image Caption
A
A
A

SINTOK - Kerjasama antara UMNO dengan Pas dilihat sebagai satu tindakan terdesak dalam menghadapi setiap PRK dan tidak akan bertahan sehingga PRU15 akan datang.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, cabaran sebenar hanya dapat dilihat semasa PRU15 kerana PRK tidak mampu mengubah landskap politik negara.

Katanya, kerjasama itu juga menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar dibuat atas dasar perjuangan politik atau disebabkan berlaku aliran dana daripada UMNO kepada Pas.

"Kalau buat (kerjasama) atas dasar untuk penambahbaikan negara, kenapa tidak buat daripada PRU dulu?

"Kenapa dalam masa terdesak ini baru nak buat?," katanya kepada pemberita selepas program ‘Bual Bicara Politik Semasa dan Masa Depan Negara’ di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman rasmi mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas semalam yang akan memfokuskan aspek penyatuan ummah.

Dalam pada itu Wan Saiful berkata, beliau juga yakin ramai penyokong Pas pasti kecewa dengan keputusan kerjasama berkenaan.

Walau bagaimanapun, katanya, PH tidak boleh mengambil mudah terhadap perkara itu dan perlu sentiasa berusaha mengukuhkan kerjasama antara parti-parti komponennya. - Bernama

Artikel Berkaitan: