Orang ramai mula rentas negeri

Keadaan trafik di Plaza Tol Gombak lancar pada Isnin. (Gambar kecil: Ainul Hasri)
Keadaan trafik di Plaza Tol Gombak lancar pada Isnin. (Gambar kecil: Ainul Hasri)
A
A
A

GOMBAK - Kebenaran rentas negeri berkuat kuasa pada Isnin membolehkan orang ramai mengambil peluang untuk keluar dari kesibukan kota.

Seorang warga emas, Wong Loon Sen, 73, dari Petaling Jaya berkata, dia membawa isterinya ke Genting Highlands untuk bersiar-siar bagi melepas kerinduan selepas hampir setahun tidak ke sana.

Loon Sen
Loon Sen

Loon Sen berkata, dia membuat keputusan untuk ke sana pada Isnin bagi mengelak kesesakan trafik memandangkan kebanyakan warga kota mula bekerja selepas cuti hari minggu.

"Kami sudah ambil vaksin dan tidak buat apa-apa di rumah jadi saya bawa isteri untuk jalan-jalan ke sana.

"Isteri saya mengalami strok jadi kami tidak merancang untuk tidur di sana dan akan pulang hari ini juga," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak pada Isnin.

Seorang pemandu teksi, Leong Chee Keong, 59 berkata, kebenaran rentas negeri membolehkan dia mengambil penumpang di Genting Highlands.

Artikel Berkaitan:

Chee Keong
Chee Keong

"Sejak sekatan rentas negeri berkuat kuasa hujung tahun lalu, saya hanya beroperasi di Lembah Klang.

"Covid-19 menyebabkan penumpang berkurangan. Jadi dengan kebenaran rentas negeri ini penumpang akan bertambah dan pendapatan kami pemandu teksi juga akan kembali normal," katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Gombak pada Isnin mendapati, aliran trafik menghala Pantai Timur tidak menunjukkan peningkatan mendadak namun dijangka bertambah menjelang hujung minggu ini.

Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad, Ainul Hasri Shah Abu Hassan berkata, pada Isnin, aliran trafik di Plaza Tol Gombak meningkat lebih lima peratus berbanding minggu lalu selepas pengumuman kebenaran rentas negeri diumumkan.

"Pada Khamis dan Jumaat ini dijangka aliran trafik akan meningkat melebihi 100 peratus iaitu 160,000 kenderaan sehari berbanding 40,000 kenderaan ketika larangan rentas negeri berkuat kuasa.

"Peningkatan tersebut susulan terdapat cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa, dijangka pengguna akan mengambil peluang cuti panjang ini untuk pulang ke kampung," katanya yang ditemui di Plaza Tol Gombak.

Ainul Hasri menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan serta memastikan kad Touch 'n Go dan eWallet mempunyai baki mencukupi untuk memudahkan perjalanan.

"Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) kami beroperasi seperti biasa, sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, imbas suhu serta telah lengkap vaksinasi.

"Hanya mereka yang telah lengkap dua dos vaksin dibenarkan 'dine-in' di RNR," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri berkuat kuasa pada Isnin selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin mencapai 90 peratus.