'Selamat pulang anak perantau, terus patuh SOP'

Keadaan semasa di Hentian Bas Terminal One di Bandararaya Seremban ketika tinjauan pada Isnin.
Keadaan semasa di Hentian Bas Terminal One di Bandararaya Seremban ketika tinjauan pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Anak-anak Negeri Sembilan yang akan pulang ke kampung halaman di negeri ini, dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, aktiviti kebenaran rentas negeri yang bermula hari ini diharap tidak membuatkan rakyat terus leka terhadap pematuhan SOP.

"Mewakili kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan selamat pulang buat para perantau.

"Saya pasti ramai yang terpaksa menanggung rindu akibat halangan tidak dibenarkan pulang ke kampung sebelum ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi kebaikan semua pihak dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Walaubagaimanapun, bermula hari ini rentas negeri telah pun dibenarkan, jadi sama-sama kita waspada dan terus kekal patuh SOP," katanya dalam kenyataan di media sosial pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada semua rakyat di negeri ini agar sentiasa berhati-hati walaupun liputan vaksin di Negeri Sembilan telah mencecah lebih 90 peratus.

Tambahnya, selain pematuhan SOP, amalan saringan kendiri juga dapat membantu mengekang penularan Covid-19.

"Insya- ALLAH, semoga semua rakyat Negeri Sembilan dan Malaysia khususnya terus terhindar daripada wabak merbahaya ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Negeri Sembilan mencatatkan kes baharu Covid-19 sebanyak 196 kes, menjadikan jumlah kumulatif 99,081 dengan 1,205 kematian.

Sehingga kini, terdapat 16 kluster iaitu 14 kluster tempatan dan dua kluster import yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan.