Kilang ais di Beluran bakal dimanfaat hampir 3,000 nelayan

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) bertanya sesuatu kepada salah seorang penduduk sewaktu turun padang bagi menjayakan program Walkabout ke Rumah Peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dan menyampaikan bantuan Bakul Makanan Nelayan di Kampung Kolapis hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) bertanya sesuatu kepada salah seorang penduduk sewaktu turun padang bagi menjayakan program Walkabout ke Rumah Peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dan menyampaikan bantuan Bakul Makanan Nelayan di Kampung Kolapis hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BELURAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membina sebuah kilang ais di Beluran yang bakal memberi manfaat kepada 2,783 nelayan di daerah ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Ahad.

Katanya, kilang ais itu, yang akan dibina di tapak seluas 0.5 hektar di Kampung Keramat dekat sini, akan memberi perkhidmatan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan.

"LKIM akan memperuntukkan RM300,000 untuk membangunkan kilang ais ini bagi kemudahan nelayan yang rata-rata nelayan pesisir di Beluran.

Urusan LKIM dengan Pejabat Daerah Beluran dan Pejabat Tanah dan Ukur Daerah untuk memperoleh tapak itu sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas meninjau rumah peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Kolapis dekat sini.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, rumah nelayan peserta PKPN di Kampung Kolapis merupakan sebahagian daripada 200 buah yang sedang dibaik pulih LKIM.

Menurutnya, bagi tahun ini, kementeriannya melalui LKIM telah memperuntukkan RM6.43 juta untuk membaik pulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan bagi seluruh negara di bawah PKPN.

Katanya, projek itu dilaksanakan bagi membantu nelayan berpendapatan rendah untuk membaik pulih rumah dan membina rumah baharu, sekali gus bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat nelayan tersebut.

Pada program itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 ahli Persatuan Nelayan Kawasan Beluran atas keprihatinan kementerian terhadap ahli yang terkesan pandemik Covid-19. -Bernama

Artikel Berkaitan: