GPM kutuk pengeboman ketika solat Jumaat di Afghanistan

Foto AP
Foto AP
A
A
A

SHAH ALAM - Pengeboman berani mati yang berlaku ketika solat Jumaat di Masjid Utara Kunduz, Afghanistan telah membunuh hampir 100 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya kesal terhadap tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, keadaan di Afghanistan masih belum stabil selepas kerajaan Taliban mengambil alih pada 15 Ogos lalu dan tindakan sebegini hanya akan memberi tekanan kepada rakyat Afghanistan.

“Pengeboman ini adalah kali kedua berlaku sepanjang pasukan GPM berada di Afghanistan selepas pengeboman pertama yang berlaku di Eid Gah dan Kabul yang telah mengorbankan lima orang.

“GPM telah berada di Afghanistan sejak September lalu dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terkesan ekoran konflik peperangan.

“Turut bersama GPM adalah pasukan Muslim Volunteer Malaysia (MVM),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, GPM turut menggesa agar semua pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan permasalahan di meja rundingan dan tidak melibatkan keselamatan serta kehilangan nyawa orang awam.

Tambahnya, GPM turut khuatir sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang sengaja menjadikan insiden untuk mengambil kesempatan dan memberi mesej salah kepada dunia mengenai Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat Afghanistan perlu hidup dalam keadaan yang tenang dan aman setelah melalui konflik serta ketidakstabilan berpanjangan hampir empat dekad.

“GPM berpandangan bahawa seluruh masyarakat dunia harus memberikan sokongan dalam memastikan keamanan Afghanistan dan menyalurkan bantuan dalam apa jua bentu dalam waktu yang sukar ini.

“Rakyat Malaysia yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan kemanusiaan untuk Afghanistan melalui pautan dalam talian di www.peduliafghanistan.com atau pindahan wang ke akaun Maybank Global Peace Mission 5642 2161 1606 dengan rujukan PeduliAfghanistan,” ujarnya.