Lebih banyak kelonggaran aktiviti sukan, riadah: PM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan akan membuka lebih banyak aktiviti sukan dan riadah secara berperingkat selepas kelonggaran pertama yang diberikan bermula 9 September lepas.

Menurutnya, sejak kelonggaran tersebut aktiviti sukan semakin rancak dengan lebih 1.4 juta peserta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan termasuk sukan bermotor dan sukan ekstrem.

"Prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor ini dapat beroperasi semula.

"Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan melalui pelaksanaan PPN akhirnya mendorong kepada pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 September lalu. Insya-ALLAH akan lebih banyak keizinan yang bersesuaian dengan faktor kesihatan akan diberikan pada masa hadapan," katanya sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2021 di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berasa yakin bahawa kesemua aktiviti yang dilaksanakan secara hibrid itu akan disertai lebih ramai lagi ahli Keluarga Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

"Sebab itu, sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan Hari Sukan Negara dengan tema ‘Towards Sporting Nation' pada tahun ini disambut penuh makna selepas setahun negara tidak dapat meraikannya ekoran pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya bertujuan meraikan segala usaha dan kejayaan dalam membudayakan sukan dan riadah seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedia maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik Covid-19.

Jelasnya, bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 1,968 perniagaan berkaitan sukan terpaksa menamatkan operasi kerana kekurangan modal pusingan, tidak dapat menampung kos operasi dan sebagainya.

"Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta infrastruktur sukan.

"Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan," katanya.

Katanya, bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai 2021 telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Inisiatif-inisiatif tersebut telah diwujudkan sebagai usaha KBS dalam menambah nilai dan menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)," katanya.