Khazanah rugi kesan pelaburan kerajaan dahulu: Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, kerugian Khazanah Nasional (Khazanah) mencecah RM6.27 bilion berpunca daripada pelaburan yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Mohamed Azmin berkata, penyata keuntungan dan kerugian mencatatkan kerugian tunggal paling besar melebihi RM3 bilion adalah disebabkan pelaburan dalam syarikat penerbangan, Malaysia Airlines (MAS).

"Bagaimanapun, MAS gagal meningkatkan prestasi syarikat dan pelaburan berkenaan dibuat sebelum Kerajaan PH ambil alih (9 Mei 2018).

"Benar Khazanah dilaporkan rugi RM6 bilion disebabkan pengurangan nilai aset syarikat yang meningkat lebih daripada RM7 bilion tetapi, situasi ini berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum kerajaan baharu mengambil alih," katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan BN kononnya kerajaan di bawah pentadbiran PH yang telah menyebabkan Khazanah mengalami kerugian sebanyak RM6.27 bilion.

Tambah Azmin, beliau enggan membiarkan Khazanah terus mengalami kemerosotan maka tahun lalu dilaksanakan proses pembersihan aset bermasalah dalam Khazanah.

"Justeru, berani saya katakan Khazanah akan kembali mengaut keuntungan pada 2019," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:10 tahun jaga Khazanah tak pernah rugi, kata Najib

Artikel Berkaitan:

Semalam, dilaporkan Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya.

Pada tahun lalu, keuntungan dana itu dijejaskan oleh pengurangan penjualan pendapatan dividen lebih rendah dan peningkatan susut nilai ketika tempoh peralihan Khazanah dalam keadaan pasaran suram.