Tular video pelajar diserang dengan batang besi, besi berantai

Kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di siku kirinya.
Kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di siku kirinya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun berdepan detik menakutkan selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan batang besi dan besi berantai di luar pintu pagar sekolahnya, di Setia Alam, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu menyebabkan pelajar tingkatkan tiga sekolah itu mengalami kecederaan di bahagian siku tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku ketika mangsa baru selesai sesi persekolahan.

"Ketika mangsa berada di luar pagar sekolah, dia telah didatangi empat lelaki bertopeng yang keluar dari sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang bersenjatakan batang besi dan rantai besi.

"Salah seorang suspek telah bertindak menghayunkan rantai besi sehingga mengenai siku tangan kiri mangsa. Mangsa kemudian terus melarikan diri ke pondok pengawal yang terletak di dalam sekolah itu bagi mendapatkan perlindungan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima, operasi telah dijalankan bagi mengesan suspek-suspek terlibat di sekitar Klang.

Katanya, seorang suspek berusia 19 tahun kemudian berjaya diberkas selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam kira-kira jam 11.30 malam tadi.

"Suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan tiga lagi suspek lain masih diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian termasuk kaitan dengan penglibatan kumpulan kongsi gelap.

"Saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung menghubungi IPD Shah Alam di talian

03-55202222," katanya.

Terdahulu, insiden tersebut menjadi viral di laman sosial Facebook dengan beberapa gambar menunjukkan sekumpulan lelaki sedang berlari dipercayai menuju ke arah mangsa.