Batalion 6 PGA rampas 13,600 rokok tidak bercukai

Salehin (tengah) menunjukkan gambar kenderaan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di sini pada Jumaat.
Salehin (tengah) menunjukkan gambar kenderaan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di sini pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 13,600 karton rokok tidak bercukai dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak di sini Isnin lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Deputi Supritendan Salehin Suleiman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai pemandu van turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Lelaki itu dipercayai pemandu van yang mengambil upah menghantar barang terlarang itu.

"Polis turut merampas sebuah lori satu tan, dua buah van dan satu telefon bimbit. Kesemua rampasan dan rokok dianggarkan bernilai RM3.4 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, polis percaya premis yang berada dalam kawasan kebun durian itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa sebelum rokok itu diedarkan kepada pihak tertentu di sekitar Muar dan Tangkak.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket ialah dengan bersembunyi di kawasan dusun durian di kampung itu dan stor penyimpanan membolehkan aktiviti penyeludupan rokok seludup berjalan lancar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 manakala suspek yang ditahan kini direman sehingga 19 Oktober untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu katanya, sehingga 8 Oktober Batalion 6 PGA telah melakukan sebanyak 15 serbuan melibatkan Op Kontraban di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Salehin memberitahu, menerusi kesemua serbuan itu seramai 34 suspek berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun ditahan.

"Antara barangan yang dirampas melibatkan rokok tidak bercukai, minuman keras, dadah dan kenderaan dianggarkan bernilai kira-kira RM7 juta," katanya.