PLUS jangka peningkatan trafik jika rentas negeri dibenarkan

Trafik di lebuh raya Utara Selatan dijangka mengalami peningkatan antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari sekiranya perjalanan antara negeri dibenarkan semula tidak lama lagi.
Trafik di lebuh raya Utara Selatan dijangka mengalami peningkatan antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari sekiranya perjalanan antara negeri dibenarkan semula tidak lama lagi.
A
A
A

SHAH ALAM - Trafik di lebuh raya Utara Selatan dijangka mengalami peningkatan antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila kerajaan mengumumkan perjalanan antara negeri dibenarkan semula tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, dijangka ramai penduduk Lembah Klang dan negeri lain akan merebut peluang yang ditunggu-tunggu untuk bersama keluarga serta sahabat handai.

Menurutnya, PLUS bersedia membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.

“Kami teruja apabila lebih 90 peratus daripada penduduk dewasa telah diberi vaksin sepenuhnya dan kini dapat melakukan perjalanan di lebuh raya seperti biasa, namun kami tetap ingin memberi peringatan terhadap keperluan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

“Mereka diingatkan untuk tetap mengikuti SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk memeriksa MySejahtera, mengambil suhu, memakai topeng muka yang betul, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan tangan yang masih merupakan sebahagian SOP di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, kakitangan PLUS yang terdiri daripada PLUSRonda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di seluruh laluan sepanjang 1,130 km sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Kerjasama dengan polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga dapat meningkatkan penguatkuasaan dan memberi ketenangan kepada pelanggan lebuh raya,” katanya.

Beliau menambah, semua kemudahan awam di 29 Hentian Rehat dan Rawat (R&R) PLUS dan 50 hentian sebelah sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia merupakan sebahagian komitmen jangka panjang PLUS untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

“Pelanggan lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati tawaran makanan yang disediakan rakan perniagaan R&R terpilih melalui fungsi pra-pesanan https://orderdisini.plus.com.my/ untuk dibawa pulang.

“Perancangan perjalanan kini lebih mudah melalui fungsi Aplikasi PLUS yang dapat dimuat turun melalui PlayStore atau AppStore dan dapatkan lebih banyak ganjaran dengan mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui www.plus.com.my,” kata beliau.