Isu seleweng royalti pasir: SPRM rakam percakapan Idris Haron

Mohd Shahril
Mohd Shahril
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah merakam percakapan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengenai dakwaan membabitkan isu penyelewengan royalti pasir.

Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata, pertemuan selama kira-kira dua jam di satu lokasi dalam daerah Melaka Tengah itu diadakan pada petang Khamis.

Menurutnya, segala maklumat direkodkan dan dihantar ke ibu pejabat untuk dianalisis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

"Saya mengesahkan kami telah berjumpa dengan pihak beliau dan telah mengambil beberapa maklumat untuk diperincikan oleh ibu pejabat.

"Maklumat itu dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi di ibu pejabat dan setakat ini tiada lagi dokumen diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada ketika solat Jumaat sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke-54 bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’ di Masjid Al Azim di Bukit Palah di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, berhubung penglibatan individu lain dalam kes tersebut, beliau berkata perkara itu juga akan diputuskan pengurusan atasan.

"Kompleksiti maklumat ini agak tinggi, jadi semua tindakan lanjut akan ditentukan oleh ibu pejabat.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan SPRM juga lebih kepada berjumpa dengan beliau untuk ambil maklumat bukan keterangan, jika keterangan, ini bermakna kita menyiasat dia," katanya.

SPRM pada Khamis mengeluarkan kenyataan memandang serius dakwaan Idris berhubung isu pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.