Kehilangan Nur Aisyah Aleya terjawab

Mohd Iqbal pada sidang media, di lokasi kejadian.
Mohd Iqbal pada sidang media, di lokasi kejadian.
A
A
A

LANGKAWI - Kehilangan Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, ketika dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, sejak pertengahan bulan lalu terjawab apabila polis menemui mayat kanak-kanak itu di Jalan Gunung Raya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menemui mayat mangsa dalam keadaan menyedihkan, apabila hanya temui cebisan rambut dan tengkorak kanak-kanak itu, sekitar 11.00 pagi.

Menurutnya, lokasi mayat mangsa diketahui selepas polis menahan pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun di Ampang, Selangor, petang semalam.

“Suspek lelaki membawa polis ke lokasi sebelum menunjukkan tempat mayat kanak-kanak itu dibuang. Menerusi bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan anggota Unit Forensik PDRM, kita temui cebisan rambut dan tengkorak sahaja,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, mayat mangsa ditemui dalam kawasan gaung yang curam, kira-kira 30 meter dari jalan raya menghala ke puncak Gunung Raya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan Nur Aisyah Aleya dibunuh sebelum mayatnya dibuang.

“Mangsa didakwa mengalami sawan ketika berada bersama suspek, sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya. Ketika cuba merawat mangsa, suspek lelaki dakwa dia menepuk belakang mangsa beberapa kali sehingga mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kemungkinan suspek panik dengan keadaan itu, menyebabkan dia memasukkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ke dalam beg pakaian.

Artikel Berkaitan:

Operasi pencarian mayat mangsa oleh anggota polis di kawasan ditunjukkan suspek.
Operasi pencarian mayat mangsa oleh anggota polis di kawasan ditunjukkan suspek.

“Suspek mengaku membuang beg pakaian itu ke dalam gaung. Namun polis hanya menemui cebisan rambut dan tengkorak mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia pada 16 Februari lalu.

“Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan mangsa didera hingga mati,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek akan direman esok pagi dan disiasat bawah Seksen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis sebelum ini menyerbu rumah pasangan terbabit namun mereka dipercayai melarikan diri sejak Jumaat, berdasarkan rekod diperoleh daripada syarikat pengangkutan.

“Pasangan itu turut membuat pertukaran sekolah anak mereka ke Johor, walaupun ketika ditahan mereka berada di Ampang, Selangor,” katanya.

Semalam, polis menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah homestay di Ampang pada 4.00 petang dan dibawa pulang ke Langkawi untuk siasatan lanjut.

Isnin lalu, media melaporkan kehilangan Nur Aisyah Aleya setelah ibunya, Rosmaliah Samo, pergi ke kediaman pasangan itu di kuarters Hospital Langkawi untuk mencari anaknya, minggu lalu.

Rosmaliah, 31, kemudian membuat laporan polis pada Ahad, selepas suspek memberitahu kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Nur Aisyah Aleya terjawab