Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan diperluaskan

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia memperluaskan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selaras dengan hasrat Badan Kehakiman Malaysia untuk memberikan akses kepada keadilan bagi semua lapisan masyarakat dan penyelesaian kes-kes JSKK khasnya.

“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan akan memberi komitmen dalam menitikberatkan mengenai penubuhan Mahkamah JSKK dalam projek-projek mahkamah yang baharu dan akan datang.

“Pejabat ini juga akan sentiasa memantau pendaftaran dan peningkatan kes Mahkamah JSKK bagi menentukan keutamaan untuk memperluaskan penubuhan Mahkamah JSKK ini,” katanya ketika Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkaitan mewujudkan Mahkamah JSKK di seluruh negeri.

Wan Junaidi menjelaskan, penubuhan Mahkamah JSKK yang pertama adalah di Putrajaya pada 22 Jun 2017 dan mengendalikan 57 kes dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, terkini mahkamah tersebut telah mengendalikan 234 kes aktif, sementara mahkamah JSKK yang kedua di Kuching, Sarawak sedang mengendalikan 164 kes aktif.

“Mahkamah JSKK telah diperluaskan di beberapa kompleks mahkamah iaitu di Kuantan; Ipoh; Muar; Johor Bahru; Georgetown; Kangar; Klang; Kuala Terengganu; Melaka; Kota Bharu; Alor Setar; Seremban dan Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

“Namun, ia bukan merupakan mahkamah khas di mana hakim sesyen yang mengendalikan kes JSKK juga turut mengendalikan kes-kes lain di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen,” katanya.