KDN, Peguam Negara setuju mansuh akta kesalahan bunuh diri

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Peguam Negara secara dasarnya bersetuju untuk memansuhkan Akta 309 Kanun Keseksaan iaitu bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ketika ini perkara tersebut dalam peringkat untuk dibawa ke Jemaah Menteri.

"Kes di bawah seksyen untuk mensabitkan mereka yang bunuh diri ini sebagai satu kesalahan sememangnya sudah lama dibincangkan dan proses juga telah berjalan.

"Saya difahamkan setakat ini, KDN dan Peguam Negara sudah bersetuju untuk memansuhkan Akta 309 Kanun Keseksaan untuk mensabitkan kesalahan bunuh diri dan sekarang dalam peringkat untuk dibawa ke kabinet.

"Seterusnya untuk buat pindaan kepada seksyen itu supaya mereka yang bunuh diri atau cubaan diri tidak disabit dengan kesalahan lagi," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang mahu usaha kerajaan untuk memastikan Akta 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan segera.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Aaron turut memberitahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memperkenalkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) sebagai strategi jangka panjang bagi mengatasi peningkatan kes bunuh diri.

Katanya, pelan itu akan dilancarkan pada 10 Oktober 2021 sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Artikel Berkaitan:

"Pelan strategik ini menggariskan strategi yang jelas bagi mencegah isu tingkah laku bunuh diri dan memfokuskan kepada kolaboratif antara agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Ia bagi mempromosikan kesihatan mental kepada kumpulan sasar, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, meningkatkan strategi pencegahan bunuh diri dan kesiapsagaan kesihatan mental dalam menghadapi kecemasan, krisis dan bencana," katanya.