Idris dedah pemimpin UMNO bolot projek ekonomi, tipu royalti pasir

Idris
Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kalau UMNO terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan tangan kanan dan kiri, suap ke mulut sambil mata menjeling lagi makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti. Semuanya berlaku dengan jelas. Ini penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini," katanya dalam program bual bicara Agenda AWANI yang dihoskan oleh Essan Yahya pada Selasa.

Sebelum ini, Idris yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir antara empat ADUN yang didakwa akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Senario itu sekali gus bakal menyaksikan Kerajaan Negeri Melaka bertukar tangan.

Kata Idris, nasib beliau tidak sebaik beberapa pemimpin UMNO lain yang masih berada dalam parti walaupun jelas menyuarakan dan bertindak menentang kepimpinan tertinggi dan sedia memberikan penjelasan di atas tindakannya menolak kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri Melaka.

“Saya tak pasti undang-undang mana dikenakan kepada saya, tapi yang saya pasti kalau dipanggil oleh badan disiplin, saya sedia memberikan penjelasan mengapa saya melakukan demikian," katanya.

Artikel Berkaitan: