PRN Melaka patut ditangguhkan: Najib

Tangkap layar siaran di Facebook rasmi milik Najib.
Tangkap layar siaran di Facebook rasmi milik Najib.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka patut ditangguhkan sebagaimana dilakukan PRN Sarawak setelah bubar secara automatik pada 7 Jun lalu.

Ujar beliau, ia berikutan kerana mengambil kira ekonomi Melaka baru sahaja dibuka semula selepas berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk jangka masa lama.

“Amat kecewa dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, seorang ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang ADUN bekas DAP yang menumbangkan kerajaan negeri Melaka.

“Situasi ini boleh dielakkan dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat.

“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama, pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguhkan sebagaimana PRN Sarawak setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” katanya menerusi Facebook beliau pada Rabu.

Pada Isnin, empat ADUN mewakili kerajaan negeri Melaka menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Selasa mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan DUN negeri itu.

Artikel Berkaitan: