Pelarian Rohingya di Malaysia lebih 200,000 orang

Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan lebih 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara. - Foto Bernama
Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan lebih 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan lebih 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam masa sama menegaskan, pengusiran mana-mana populasi secara paksa tersenarai sebagai salah satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan konvensyen mengenai pencegahan dan hukuman ke atas genosid.

“Walaupun penghentian pengurusan ini terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah Myanmar, Malaysia dan negara-negara sependirian perlu terus berusaha ke arah merealisasikan penghentian pengusiran tersebut,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan mengenai kedudukan kerajaan terhadap rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya.

Saifuddin berkata, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat serantau dan antarabangsa.

“Di peringkat ASEAN misalnya, Malaysia adalah negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan mengenai isu pelarian Rohingya.

“Malaysia juga menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudah cara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar,” ujar beliau.

Tambahnya, Malaysia turut melihat sekiranya kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya dapat dicapai melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan ICC, etnik Rohingya mungkin mendapat pembelaaan sewajarnya.

Artikel Berkaitan: