Wanita rugi lebih RM41,000 ditipu ‘doktor’

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita sanggup membayar RM41,400 bagi menuntut wang pencen seorang kenalan Facebooknya yang dikatakan bertugas sebagai doktor Syria.

Bayaran itu dibuat memandangkan kenalannya itu akan pulang ke tanah air tidak lama lagi.

Bagaimanapun keikhlasan wanita berusia 57 tahun itu memakan diri apabila wangnya lesap ditipu manakala wang pencen kononnya dari kenalannya berjumlah AS$50,000 (RM204,298) langsung tiada bayangnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang juga seorang peniaga mengenali suspek melalui laman Facebook sejak November tahun lalu dan hanya berhubung melalui aplikasi Messenger.

Menurutnya, suspek meminta bantuan mangsa untuk menyimpan sementara wang pencennya itu yang dihantar melalui pos,” katanya.

"Sindiket itu menggunakan taktik penipuan hampir sama dengan memerangkap mangsa melalui panggilan telefon di mana suspek kononnya perlu membuat bayaran tertentu untuk menuntut wang tersebut.

“Dalam kes ini, mangsa dihubungi seorang wanita kononnya agen syarikat kurier dari Johor yang menguruskan penghantaran wang tersebut," katanya.

Katanya, wanita itu tidak sedar dirinya ditipu dan membuat bayaran seperti diminta secara berperingkat melalui 10 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berasingan atas nama dua wanita dalam tempoh 11 hingga 22 Februari lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM41,400,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa hanya mengesyaki ditipu apabila wang pencen daripada rakannya tidak diterima selepas semua bayaran dibuat lalu membuat laporan polis, semalam.

“Susulan laporan dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga akan mengenal pasti dan mengesan suspek berdasarkan maklumat pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini,” katanya.