Polis buru tiga individu bantu selesai kes di Bachok

Polis giat mengesan tiga lelaki bagi membantu menyelesaikan kes yang berbeza di sekitar jajahan ini.
Polis giat mengesan tiga lelaki bagi membantu menyelesaikan kes yang berbeza di sekitar jajahan ini.
A
A
A

BACHOK - Polis daerah ini mengesan tiga lelaki bagi membantu menyelesaikan kes berbeza di sekitar jajahan ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dalam satu kenyataan pada Isnin memberitahu, individu yang dicari itu dikenali sebagai Mohd Khairul Aswadi Mohamed Nor, Alif Tuyuk dan Mat Utan.

Menurutnya, bagi kes pertama, polis sedang mengesan suspek bernama Khairul Aswadi dan tiga lagi rakannya untuk membantu siasatan kes pukul seorang lelaki berusia 39 tahun di Kampung Tok Kederat.

"Kejadian berlaku pada jam 11 malam mengakibatkan mangsa luka di bahagian kepala dan lebam pada mata sebelah kiri. Difahamkan punca kejadian akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

Mohamad Ismail berkata, individu yang dikenali sebagai Alif Tuyuk pula dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkumpulan menggunakan senjata di Kampung Kemayang, Tawang.

Katanya, kejadian jam 3.35 pagi Ahad itu berlaku ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu di sebuah rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua individu bertopeng.

"Mereka masuk ke dalam rumah dengan membawa senjata tajam dan melarikan tong gas, botol shisha dan mesin pemotong besi. Suspek turut merampas wang tunai berjumlah RM280, telefon bimbit dan sebentuk cincin perak daripada mangsa," katanya.

Mohamad Ismail berkata, mangsa turut diikat serta dipukul menggunakan kayu golf tetapi dia berjaya membuka ikatan tersebut selepas suspek melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat Utan bagi menyelesaikan kes samun di tepi jalan Kampung Bukit Mak Lipah, Bachok pada 19 September lalu.

"Nama penuh suspek ialah Mohd Yustam Fahmi Sanusi yang berusia 33 tahun dan beralamat di Kampung Bukit Mak Lipah itu. Suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.

"Orang ramai yang mengenali atau melihat suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau tampil ke balai berdekatan," katanya.