X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Kilang bahan roti hampir sebabkan gangguan air

Sampel air diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.
A
A

KAJANG - Kilang pembuatan bahan roti di Kampung Baru Balakong di sini hampir menyebabkan penduduk Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila dikesan melepaskan efluen berminyak ke sungai.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menghentikan operasi loji rawatan air (LRA) Bukit Tampoi pada jam 12 tengah malam Isnin selepas menerima aduan berhubung pencemaran itu.

Menurutnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat bau minyak masak di Sungai Balak dan siasatan lanjut menemukan sisa minyak di aliran pelepasan efluen akhir premis berkenaan.

"Jarak lokasi pencemaran ke muka sauk LRA Semenyih 2 ialah 16 kilometer (km), LRA Bukit Tampoi 24.5 km dan LRA Labohan Dagang adalah 36 km.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan, pihak LUAS telah meletakkan dua unit 'oil boom' dan 50 unit 'oil pad' bagi mencegah kemasukan efluen minyak ke Sungai Balak,", " katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, Air Selangor telah mengaktifkan bekalan air alternatif daripada LRA Sungai Semenyih sementara LRA Bukit Tampoi dihenti tugas.

"Tiada gangguan bekalan air sepanjang henti tugas LRA Bukit Tampoi dan kembali beroperasi pada jam 9 pagi Isnin.

"Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari masa ke masa dilakukan oleh LUAS bersama pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara," katanya.

Pemeriksaan petugas LUAS di lokasi pencemaran.
Pemeriksaan petugas LUAS di lokasi pencemaran.

Susulan kejadian itu katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta.

" JAS mendapati insiden pencemaran tersebut berpunca daripada tangki simpanan minyak manjerin tidak berfungsi dan bocor memasuki longkang berhampiran.

"Premis berkenaan telah diarahkan mengambil tindakan segera dengan membina benteng pasir di dalam longkang selain kerja-kerja pembersihan," katanya.

Katanya lagi, MPKj telah mengeluarkan kompaun di bawah kesalahan mengalirkan efluen minyak ke sistem saliran awam sebelum di rawat dan menggantung lesen premis terbabit sehingga kerja-kerja pembaikan dijalankan oleh pengurusan kilang tersebut.

"LUAS pula telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk melaksanakan tindakan pembersihan dan pemuliharaan segera di Sungai Balak dan Sungai Langat," katanya.

Katanya, kerajaan Selangor tidak berkompromi kepada pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan dalam Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang RM200, 000 dan tidak melebihi RM1 juta," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!