Sedia latihan khusus petugas pusat jagaan kanak-kanak OKU

Ras Adiba ketika berucap pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Ras Adiba ketika berucap pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta untuk menyedia dan mewajibkan latihan khusus kepada petugas pusat jagaan kanak-kanak berkeperluan khas atau orang kurang upaya (OKU) terutamanya melibatkan kanak-kanak autisme.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, setakat ini tiada kursus yang diwajibkan untuk kakitangan di pusat autisme dan kini sudah tiba masanya petugas di pusat tersebut dilengkapkan dengan latihan mencukupi.

"Seterusnya saya ingin sarankan untuk disediakan latihan tahap tinggi untuk penjagaan anak autisme iaitu The Board Certified Behavior Analyst yang dikelolakan badan profesional di Amerika Syarikat.

"Kerajaan mesti wajibkan petugas kita mengambil kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3. Ini penting kerana kalau kita tidak mengikuti kursus ini sampai bila-bila kita tidak dapat menyokong anak-anak istimewa ini," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada insiden seorang kanak-kanak autisme dikasari serta disyaki didera di sebuah pusat intervensi di Bandar Baru Ampang, di sini seperti yang tular di media sosial.

Sejak Ahad, tular di media sosial termasuk Facebook dan TikTok seorang kanak-kanak lelaki dikasari seorang wanita dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak autisme sehingga menerima kecaman hebat warganet.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia turut menegaskan mana-mana individu yang tidak mempunyai tahap kesabaran dan empati yang tinggi supaya tidak bertugas di pusat jagaan kanak-kanak OKU sebaliknya, tanggungjawab itu harus diserahkan kepada mereka yang lebih layak.

"Kanak-kanak istimewa ini memerlukan sokongan kita, sekiranya kita tidak mampu memberikan sokongan dan kasih sayang, maka tiada guna kita berada di situ. Kalau rasanya kita tidak ada tahap kesabaran itu saya pohon mereka ini berilah laluan kepada orang lain yang ada kesabaran, yang mempunyai empati.

Artikel Berkaitan:

"Kerana bukan mudah untuk anda menjaga insan kurang upaya terutamanya anak-anak yang mempunyai keperluan berbeza-beza," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperketatkan penguatkuasaan melalui akta pusat jagaan semasa agar perkara seperti itu tidak berulang.

"Saya pohon kepada JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk pantau perkara ini kerana ia terlalu banyak kali berlaku. Apakah kita mahu melihat salah seorang anak OKU itu meninggal sebelum kita melakukan sesuatu? Cukuplah di sini saja," katanya. - Bernama