Isu gaji rendah: MTEM minta kerajaan nilai semula sasaran gaji purata

Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Halim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta kerajaan supaya melihat kembali dasar penetapan sasaran purata gaji yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, sasaran gaji purata tidak memberi gambaran tepat terhadap kadar upah sebenar diterima oleh oleh rakyat dalam kumpulan B40 dan M40.

“Sasaran sepatutnya adalah ‘gaji penengah’ bukan ‘gaji purata’. Ini kerana nilai gaji purata adalah ‘terheret oleh gaji golongan eksekutif atasan yang jauh lebih tinggi, sayugia tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah melonjak kepada sekitar RM10,000 sebulan pada 2025.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, walaupun kedua-dua metrik tersebut masing-masing memiliki fungsinya, namun penekanan pada sasaran gaji penengah memberi lebih impak pada golongan B40.

Katanya, kerajaan wajar mengadakan sasaran purata gaji penerima pendapatan kumpulan B40 serta M40 kerana fenomena gaji rendah dan tidak setimpal berlaku terhadap kedua-dua kumpulan tersebut.

“Gaji penengah Malaysia adalah RM2,109 pada tahun 2020. Ini bermakna 50 peratus dari jumlah pekerja 15 juta memperolehi gaji bawah RM2,109. Mampukah mereka hidup secara wajar dan bermaruah?

“Kajian diperlukan untuk menentukan tahap pendapatan kehidupan wajar mengikut negeri yang perlu dicapai menjelang 2025. Wawasan Kemakmuran Bersama telah menentukan sasaran purata pendapatan kehidupan wajar sebanyak RM5,800 sebulan pada tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

“Untuk kesejahteraan rakyat jangka panjang dalam rangka “kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia, matlamat ini adalah penting dan tidak boleh diambil ringan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut meminta kerajaan supaya turut melihat kembali dasar berkaitan pekerja asing yang bakal dilaksanakan kerajaan di bawah pelan rancangan lima tahun tersebut.

“Pengurangan Pekerja Asing pasca Pandemik ini perlu diberi perhatian utama kerana ia memberi kesan pada peluang pekerjaan rakyat B40 serta peningkatan gaji dan upah. Pengecualian hanya boleh dilakukan untuk sektor perladangan dan pembinaan,” ujarnya.

Pada masa sama, antara perkara lain diharapkan oleh MTEM untuk dinilai kembali oleh kerajaan adalah mengenai isu penetapan penyelesaian ekonomi yang lebih jelas untuk mengatasi kesan Covid-19, kekurangan data untuk menyokong cadangan RMK12 dan laporan keberhasilan dari RMK10 dan RMK11.

Turut disentuh oleh majlis ekonomi tersebut adalah isu mengenai peruntukan terhadap pembinaan rumah mampu milik, kebergantungan kepada pelaburan asing, pembangunan ekonomi bumiputera dan hasil kerajaan.

tamat